BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 26, 2010

Wajah Yang Dirindui...

Semoga Allah SWT memayungi langkah perjuangan kita di medan ummah bersama lembayung rahmat, kasih sayang dan redha-Nya...amin....
Rindu saat-saat indah kita bersama...bertatih, tersenyum dan tertawa atau sesekali menangis bersama...merajuk dan menghadapi liku-liku zaman kampus; fasa hijrah hidup ini bermula...:)

*Usah Sia-siakan*

Sufyan ats-Tsauri, seorang ulama hadis yang terkemuka, menyatakan b...ahawa ada sepuluh hal yang termasuk dalam kategori sia-sia, iaitu:-

1. Lelaki atau wanita yang berdoa untuk dirinya sendiri, tapi tidak dimohonkannya doa untuk ibu-bapanya sendiri dan kaum Muslimin.

2. Orang yang kerapkali membaca Al Quran, tapi tidak membaca secara tertib .

3. Lelaki yang masuk ke dalam masjid, kemudian ia keluar kembali dari masjid itu tanpa mengerjakan shalat tahiyatul-masjid.

4. Orang yang melewati tanah perkuburan, tapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan arwah-arwah mereka.

5. Lelakii yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian ia keluar lagi dari kota itu tanpa mengerjakan shalat Jumaat berjemaah.

6. Lelaki atau wanita yang tinggal di suatu lingkungan dengan seorang ulama, tapi dia tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.

7. Dua orang laki-laki yang bersahabat, tapi mereka tidak saling menanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.

8. Lelaki yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamunya itu.

9. Pemuda yang menjadikan zaman mudanya berlalu begitu saja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.

10. Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang ia sendiri makan kekenyangan di dalam rumahnya.

Wednesday, November 24, 2010

Menanti Hikmah Kembara....

Lahaulawala quwatailla billah....
Tawakkal a'lallah...
Hasbunallahhi wani'mal wakil...
Hamba yakin pada segala janji-Mu, Rabbi...
Hamba berserah hanya pada-Mu..

Semalam, dalam meredah hujan ana selamat tiba ke Shahab Perdana...
Subhanallah..dalam kekalutan jiwa dan perasaan, Allah hadiahkan secangkir bakti yang dapat diabadikan dalam sukma...

Terima kasih ayah buat hadiah teristimewa semalam...Itu yang pertama ayah hantar kakak setelah bertahun anakmu ini menjadi perantau...

Terima kasih mak atas keizinan dan kepercayaan mak lepaskan kakak untuk melangkah sebagai perantau..doakan kakak mak...maafkan kakak...ampunkan kakak...kakak belum cukup kuat untuk ada di sana mak...:(

Terima kasih abang....atas segala jasa dan pengorbanan...

Terima kasih abang e, kak teh, kak cik dan amar...
Tolong kakak jaga mak dan ayah di teratak kecil kita...

Terima kasih Farhana...
atas kesetiaanmu menjadi teman, sahabat dan saudara di kala duka...

Terima kasih Lin (Amalina) kerana tak pernah jemu berkirim berita dan menelefon ana..

Terima kasih Tok...atas kesudian menerima tetamu kita dari negeri Cik Siti Wan Kembang..:)

dan terima kasih semua atas segalanya...doakan ana tabah menanti hikmah kembara...InsyaAllah...

Thursday, November 4, 2010

Seorang....

Allah...hanya Engkaulah sebaik-baik wakil..
Saat ini ana keseorangan...sendirian menggalas amanah dakwah ini....
Kawasan kelas dan bangunan ini dahpun kosong...Tapi, demi dakwah dan kepentingan bersama tunas-tunas muda Islam ini ana kuatkan hati..Moga usaha yang terlalu kecil dan kerdil ini ada nilainya di sisi ILahi...moga keseorangan ini Kau hadiahkan dengan rasa keindahan bersama-Mu..Allah..hu Allah...

Sejujurnya ana belum benar-benar dianugerahkan teman dan sahabat yang punyai matlamat dan fikrah yang sama di sini....Rabbi...tunjukkan jalan...mohon dengan sangat...

Kadang-kadang terasa lemah dan tak berdaya...Namun sesungguhnya sandaran kekuatan yang Kau anuerahkanlah yang membuatkan hamba terus bertahan biarpun perit...

Tuesday, October 26, 2010

Hari Kelima Sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling...

Allahhuakhbar...
Lahaulawala quwatailla billah...
Sejujurnya ana masih tercari-cari rentak dan momentum untuk meladeni jalan dan medan ini.
Tiba-tiba terasa kosong dan tak bermaya untuk memulakan kerja hari ini.

Tubuh masih terasa sakit. Teringat peristiwa pagi Jumaat lepas. Tidak semena-mena sekujur tubuh rasa terhalang untuk bergerak ke depan. Natijahnya, kaki tergelincir dan ana hilang keseimbangan. Sekujur tubuh jatuh mencecah lantai.

Allah...
Ana mengerang kesakitan.Peritnya tulang belakang dan pinggang hanya Allah yang tahu. Rasanya mahu tercerai pinggang dari badan...Ana pejamkan mata dan gagahi untuk bangun.
Ana khabarkan pada Kak Azani tentang kemalangan dalam rumah yang terjadi...
dan sejak itu tubuh ini benar-benar rasa kurang sihat...

Kafarah dosa-dosa..itu kata rakan-rakan dan ana akui kebenarannya...Moga terampun dosa,kelalaian dan kealpaan diri.

Dan hari ini di pejabat pun ana rasa kurang enak. Rasa serba tak kena...
Ada sesi kaunseling kelompok, ada konsultasi dengan guru mata pelajaran, ada bimbingan pelajar bagi program SPC,tengah semak laporan-laporan program terdahulu...dan paling memeningkan..ada yang mahu menumpangkan drum, gitar dan alat-alat lain yang sesaudara dengannya di bilik ini...

Mungkin..... dalam keserabutan suasana ini ana agak serabut jugak sebab medical check-up belum selesai, surat terima jawatan belum disahkan pesuruhjaya sumpah, beberapa dokumen belum difotostat.

Allah....berilah hamba jalan keluar Ya Rabb..tenangkan hamba...

Wednesday, October 20, 2010

Hari Ketiga....

Tawakkal pada-Mu,Rabbi..
Tabahkan hamba dalam berusaha..istiqamah...(^^)
Perlahan-lahan dan seboleh-bolehnya ana mahu pantas dan tangkas membaca situasi dan suasana di sini. Berusaha sedaya upaya menyampaikan dan memberi yang terbaik...

Bantu hamba, Rabbi...
Berikan hamba ilham dari sisi-Mu...

Perkara yang cuba ana istiqamahkan bersama pelajar di sini...

1. Solat Jemaah dengan mereka sekurang-kurangnya Maghrib dan Isyak
2. Makan bersama
3. Ziarah kamar
4. Morning call
5. Update maklumat terkini peluang biasiswa dan tempat sambung belajar
6. follow up keperluan semasa maktab
7. sediakan bahan-bahan edaran@publisiti untuk motivasi dan peringatan bersama.

Monday, October 18, 2010

Iftitah...

Subhanallah...
Alhamdulillah...
Lahaulawala quwatailla billah...
Tawakkal pada-Mu, Rabbi..

Syukur atas segala nikmat dan kurnia-Mu...
Ayah dan Amar dah bertolak balik ke Kedah pagi ni...
Morning call..
Ana diminta kenalkan diri...
Apa khabar semua?
Alhamdulillah, saya sihat luar biasa baik...

Trademark pengenalan...:)

Allah...
Sesungguhnya segala yang baik itu dari anugerah dan kurnia-Mu...
Terima kasih buat semua yang mencorakkan warna ceria di hari permulaan ana bergelar guru bimbingan dan kaunseling ini. 18.10.2010 .
Barakallahhufik...

Tuesday, October 5, 2010

Tangisan di rumah-MU....

Allah....
Aduhai hati...
susahnya nak menjaga segumpal darah ini...
akal kadang kala kalah...
jasad pula hanya mengikut tanpa bertingkah....
Ana memang benar-benar rindukan solat jemaah...
Ana sebagai makmum...Ana tak cukup tegar @ layak menjadi imam...

Lalu, diri yang agak degil ini nekad. Telekung dilipat kemas. Ana meredah kegelapan malam...
Terasa syahdu. Ada bayu ketenangan yang berziarah walau hati berdebar kencang.

Hati yang nekad tadi tidak putus -putus berdoa...

"Selamatkan perjalanan hamba, Rabbi..."
"Hamba terlalu rindukan -Mu"
"Hamba mahu menziarahi rumah-Mu"
"Hamba mahu mengadu pada-Mu"
"Hamba mahu menangis sepuas-puasnya di rumah-Mu "
"Hati yang degil ini hanya selalu akur dengan panggilan iman di rumah-MU..."
"Hamba mahu berdamping dan dekat pada-Mu"
"Hamba mahu hidup dan mati dalam redha-Mu"

Tiba-tiba ada langkah yang berderap di belakang ana. Berderau darah ana.

Hati kembali berdoa.

"Ampunkan hamba Rabbi.."
"Selamatkan hamba dari fitnah atau niat buruk hamba-Mu"
"Moga diri hamba tidak terlihat dalam pandangan mereka"

Ana perlahankan langkah. Biar dia mendahului. Ada kelibat lelaki bergamis dan berserban...seorang pak cik. Dia juga menuju ke arah yang sama. Surau Al - Firdaus.
Ana menghela nafas lega.

Sebaik sahaja tiba, hanya ada seorang jemaah wanita. Ana cepat-cepat bertelekung dan takbir di angkat...

Allah.....laju ja air mata ini menitis.
Tak mampu lagi di sekat. Ana cuba tumpukan sepenuh perhatian pada tiap yang dibaca..
dan ana masih menangis lagi....

"Rabbi...
Izinkan tangisan yang Kau anugerahkan ini, membasuh dosa dan noda hamba...
Izinkan tangisan ini melebur karat mazmumah di dada...
Izinkan tangisan ini menjadi arca cinta seorang hamba..
Izinkan tangisan ini menjadi penguat mujahadah sebelum hamba pulang ke alam baqa...
Izinkan tangisan ini mengadu segalanya...."

Sekalung Penghargaan....

Alhamdulillah....syukurlillah...

Diberi ruang masa dan kesempatan...

Ana pandang handphone yang banyak berjasa, tapi dah pun semakin uzur akhir-akhir ni...

Lalu ana taipkan mesej berikut....

Salam wbth, moga tenang dan bahagia serta dikurniakan kekuatan iman dalam melaksanakan amanah dan kewajipan.Setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan salam penghargaan atas segala jasa,pertolongan dan doa sepanjang ukhuwah yang terbina.insyaAllah, 9 Oktober nanti (hari konvokesyen) saya dan rakan-rakan. Jika berkelapangan, silalah datang ke upm J...

Apapun,mohon doa dan sokongan semua agar kita istiqamah dalam kebaikan..sekian,terima kasih (^_^)

Lalu, ana tekan butang sending options dan memilih send to many...

Ana sendkan pada semua VVIP in my life yang bukan berkonvo bersama nanti...maknanya sahabat-sahabat yang sama - sama naik ke pentas tak dapatlah mesej ni...

Walau apapun salam penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih buat semua.Sepanjang empat tahun yang cukup bermakna kalian hadir mengisi bilah waktu yang ada. Kalian menjadi teman dan pelengkap jiwa dalam melalui denai kedewasaan. Terima kasih semua dan di doakan segala kebaikan itu mendapat ganjaran terbaik dari sisi Allah SWT...ameen...

Dan ini antara mesej yang ana terima dan sangat berkesan di jiwa selain ucapan tahniah dan terima kasih atas jemputan...

· doa agar terus berjaya dalam apa jua urusan kebaikan.

· Orang berjuang sering menangis lemah disisi Allah SWT, tetapi Allah SWT kuatkan dia di sisi manusia. Berjuanglah kerana Allah, berbahagialah hati walaupun payah, kerana itulah jalan ke Jannah.

· Peringatan tentang keadaan diri yang telahpun memegang suatu amanah...Ilmu yang ada adalah amanah dan perlu digunakan untuk menyampaikan kebenaran.

InsyaAllah...

BoBo...

Allahhuakbar!

Seharian malah bawa ke malam ana dan Mak Su berada di tadika. Kerja-kerja menyiapkan hidangan bagi rumah terbuka bukan mudah rupanya...Jujurnya inilah pengalaman pertama membuat sekian banyak kerja-kerja rumah,masak-memasak...Penat sangat rupanya..

Jam di Seri Kembangan ni dah pun berinjak ke angka 11.00 malam..InsyaAllah, kerja-kerja hampir siap.Akhir sekali ana jinjing plastik sampah ke luar..

Subhanallah....

Comelnya dia...KUCING yang selalu lepak di kawasan tadika ana. BOBO ana namakan dia...tak tahulah kenapa, tapi ana bahagia dan senang ja nak panggil dia BOBO...:)

MasyaAllah...

Matanya tepat merenung ana.

Bobo, lapar ? tanya ana..

Ops,lupa..dia kucing...mana boleh cakap.Mujur dia tak jawab cakap ana..Kalau tidak, alamat sesaklah nafas; terkejut..he2...)

Kesian...Allah Yang Maha Pemurah kurniakan rasa kasihan yang membuak-buak di hati ini. Allah...sayu dan kesian sungguh merenung matanya...Bobo tak leh cakap.Tapi dia bertuah jadi kucing.Tak da amanah. Tak da taklifan. Tak da dosa paling utama.

Mak su, Bobo lapar..ada makanan tak?

Bila dia bagitahu? Hai dah faham bahasa kucing ke?

Dak cek...rasa-rasa dan teka ja..Bobo tengok Mak Lang penuh harapan..nak makanan.

Lalu, seketul ayam yang sebahagiannya di jamah Mak Su ana beri pada Bobo...

Dia menggonggong ayam tersebut dan hilang di sebalik kepekatan malam.

Allah..itu rezeki Bobo malam ni..

Syukur Ya Allah diberi peluang menjadi wasilah @ penyampai rezeki kepada makhluk-Mu..tak dapat nak bersedekah dengan manusia..harapannya membantu haiwan ini dikira sebagai amal jariah...ameen..

Hm, sebenarnya kucing dan haiwan ni pun selalu berdoa kepada Allah.

Pernah dikisahkan seorang a’bid pernah terlantar sakit disebabkan doa seekor burung dan dia disembuhkan dengan izin Allah lantaran doa seekor ibu kucing.

Pengajarannya; jom rajin-rajinlah bersedekah samada kepada manusia atau haiwan.

Jangan membazir,terutamanya makanan dan masa (umur) sebab membazir amalan syaitan.

Berlakulah ihsan kepada semua makhluk Allah yang baik dan tidak mengundang mudarat. Mereka ada hak dan rezekinya di bumi ini..

Sekian, kita jumpa lagi Bobo..Selamat beramal.

Tuesday, September 28, 2010

Bang Ee: Dia Amanah daripada Allah SWT...


Dalam kesibukan di tadika petang tadi,telefon menjerit nyaring minta diangkat...

Oh,mak yang call rupanya..mak jarang call melainkan ada perkara penting..

hati bergetar...apa gerangan berita dari teratak agaknya...


Salam bersambut..

Ya, mak?tanya ana..

Kakak, bang ee nak pegi jugak Kuala Lumpur ni? Buleh dak?

Ya mak..boleh ja...tak da masalah pun..Bang Ee dapat cuti ka?

Ha..dia dah mintak awal-awal cuti sebab nak pi kat kakak...

baik mak..takpa ja...

perbualan seringkas itu tamat setelah salam diucap...


dan berita itu membuat hati yang bergetar di sapa bayu sendu...

ada sebak yang berziarah ke laman hati...

ada kisah silam yang menari-nari di ruang minda..

dan akhirnya jernihan mutiara gugur jua...


ana menangis lagi hari ini...saat terkenangkan bang ee, murah ja air mata ni...

dia bukan seperti kita..dia insan istimewa..anugerah dan amanah Allah buat ana sekeluarga..

bang ee lahir saat mak derita meniti bahtera rumahtangga...

natijahnya, bang ee menjadi mangsa.

dan keadaan bertambah kalut setelah ana pula menjengah dunia..

perhatian untuk bang ee beralih arah...


bang ee tak sempat serasi dengan suasana di sekolah...

akhirnya bang ee tidak berpeluang melalui zaman kanak-kanaknya di sekolah...


dan saat ana bakal menerima ijazah nanti, pasti bang ee tersenyum tenang..inilah pengorbanan bang ee untuk ana....


dan harapannya, ana berkesemptan membela nasib bang ee..

mengutip kembali hari-hari pembelajarannya yang tercicir sebelum ini...


Impian ana untuk Bang Ee..

1. nak hantar bang Ee pergi sekolah pondok

2. upah cikgu khas ngajar bang ee hingga pandai

3. set up sebuah perniagaan untuk bang ee berdikari

4.bang ee dapat dibimbing menjadi hamba Allah yang soleh...

5. bang ee dapat ilmu asas sebagai seorang muslim.


insyaAllah...amen...

sayang bang ee sangat2...:)

Hadiah dari Sahabat....

Alhamdulillah...syukur lillah...
Jazakallahukhair buat ishah yang sudi updatekan entry bertajuk " JIHad Fisabilillah"..
Rasa sayang ja nak masuk entry baru...hadiah yang cukup bermakna :)..
dan saat berjauhan ini, hanya doa dan ingatan menjadi penguat ikatan ukhuwahfillah yang terjalin...Moga Allah SWT thabatkan dan tabahkan hati kita dalam gerak kerja Islam..InsyaAllah...

Sunday, September 26, 2010

Jihad Fisabilillah


Stand Up
Album :
Munsyid : Muadz Dzulkifli Al-Masaar
http://liriknasyid.com


"قم يا فلان فأذن أنه لا يدخل الجنة الا مؤمن"
"ان الله يؤيد الدين برجل فاجر"

Oh you stand up! say it together
None enters paradise save a true believer
Allah shall support this religion
With a sinful man with a wicked man

Some people see barriers
In classes and in colours
Some people are wiser
But some believe they are hollier

Feel the heart of everyone
See through our differences

You and I have the power
Think good of one another
So stand up and take our places
And do what we do better
Spend sometime to know ourselves
Help the other

Friday, September 24, 2010

Cikgu, Sebelum Kita Ada Dalam Perut Ibu Kita Tinggal di mana?

Allahhuakhbar!
Soalan tu datang dari bibir kecil Amirul semasa sesi berceita pagi semalam...
Hm,cikgu perlu cari maklumat ni...desis ana di dalam hati..
Baik, esok cikgu cerita tentang perjalanan kehidupan manusia dan dimana sebenarnya kita tinggal sebelum ada dalam perut ibu...InsyaAllah...Boleh ya?
OK,cikgu..jawab mereka beramai-ramai....

dan Alhamdulillah...selesai sesi pengenalan ringkas perjalanan lima alam yang manusia tempuhi secara ringkas dan sebatas daya fikir dan imaginasi kanak-kanak...

Sebelum kita ada di rahim ibu, kita ada di alam pertama yakni alam roh...
dan keadaan di alam roh ni adalah dalam rahsia Allah...cuma sedikit ilmu tentang alam roh ini Allah berikan kepada Nabi kita...Nabi Muhammad SAW...

Ana teruskan cerita setakat mana yang tahu...nampaknya memang
kena masuk pondok atau cari tempat belajar balik...rasa dhaif dan kurangnya ilmu....

Bantu hamba Ya Allah..ajarkan ilmu dari sisi-Mu, apa-apa ilmu yang baik untuk manfaat dunia akhirat hamba...ameen...

Tuesday, September 21, 2010

Gerbang Bahagia: Mengintai Mawaddah dan Rahmah



Alhamdulillah...syukur lillah...
Dengan izin dan rahmat kasih ILahi, salah seorang sahabat baik ana selamat melangkah ke alam pertunangannya..

Dua bentuk cincin yang tersarung di jari manis menjadi tanda dia kini bakal diberi pinjam dan diamanahkan kepada pemimpin serta imam bakal rumahtangganya kelak..:)



Dia yang mesra dipanggil mak su menerima cincin tersebut di teratak ayah bondanya di Legong, Baling hari raya ketiga baru-baru ini...

Sunday, September 19, 2010

Noktah Kembara di sini...

Noktah@kematian hanya pada jasad dan nyawa.Namun ruh kekal meneruskan perjalanan bertemu Allah hu Rabbi yang menciptakan kita semua...

Moga sebelum noktah itu, kita menghargai setiap detik waktu yang ada...
Bersabarlah diri...hidup untuk ILahi...
Tenanglah melangkah, kerana kita milik Allah...
Usah digundah pada apa yang tiada...
Segala rezeki dan takdirNya telah tertulis buat kita...
Apa yang penting kita usaha...
Cuba dan terus mencuba hinggalah kita dijemput pulang ke pangkuan yang Esa...
Moga pulangnya nanti bersama bekal amal dan taqwa...
InsyaAllah...

Setelah Koma.....noktah..

Allah...pasrah pada takdir ketentuan-Mu...
Jasadnya terbujur kaku..
Hanya nafasnya yang dibantu alat bantuan pernafasan singgah ke penglihatan ana.
Wajahnya pucat...sedikit membengkak..ALLAH...ana nyaris tidak mengenalinya..
Ana sendiri kaku di tempat berdiri...Sejuta rasa merajut emosi...
Dia koma di CCU, Hospital Muazam Shah Sungai Petani...
Teringat luahan hati ayahnya...
Dia hanya bernafas dengan mesin penyambung hayat...
Pak Cik reda dia pergi...
Harapan untuk dia yang mandi dan kafankan jenazah pak cik tak kesampaian...
Nampaknya pak cik yang akan mandikan dia...
Pak Cik redha...
dan setelah empat hari koma, dia pulang menyahut panggilan ILahi...
Allah...dia telahpun mendahului kami...
dan kami juga bakal mengikut jejaknya...
moga pulang kami dalam husnul qatimah...
amen.

Wednesday, September 1, 2010

Rukun Jual Beli

Suasana hening..para jemaah seakan-akan khusyuk berfikir. Semuanya diam membisu. Persoalan ustaz sebentar tadi juga singgah di fikiran ana.

Sebutkan pada ustaz rukun jual beli? pinta ustaz bersunguh-sungguh.

Ajaibnya, suasana tiba-tiba bertukar sepi sesepinya. Tiada langsung yang bersuara.

Ana turut terdiam seribu bahasa...
Rukun jual beli...macam pernah belajar, tapi dah lupa...

Allah... benar yang ilmu itu hanya ada di dalam buku, bukan di dalam amalan harian kehidupan sedangkan urusan belian dagangan ini satu keperluan.Boleh pulak terlupa rukunnya....Astagfirrullahhal a'zim...

Jadi, jom buat ulangkaji:

RUKUN JUAL BELI:

1. Ada penjual dan pembeli yang keduanya harus waras atau sihat akal fikirannya, atas kemahuan sendiri, dewasa/baligh dan tidak membazir@boros.

2. Ada barang atau perkhidmatan yang diperjualbelikan dan barang penukar seperti wang, dinar emas, dirham perak, barang atau perhidmatan lain.

3. Ada ijab qabul iaitu ucapan transaksi antara yang menjual dan yang membeli (penjual dan pembeli).

Tatkala Gagak Makan Tembikai...

30 Ogos 2010

Alhamdulillah...setelah bersusah payah memujuk hati dan menghadapi beberapa halangan dalaman, akhirnya ana bersama tiga orang rakan selamat memulakan perjalanan kami menuju ICT sebagai petugas bagi Program Semarak Kemerdekaan.

Terlalu banyak pengalaman yang dikutip sepanjang program terutamanya ketika Ekspidisi Dakwah GEMS. Namun, ana amat terkesima dan termenung panjang saat melihat seekor gagak yang hitam pekat melompat-lompat di pinggir jalan. Tiba-tiba sang gagak tersebut mematuk sepotong kulit tembikai. Berkali-kali...

Subhanallah,gagak makan tembikai ke? tanya ana kekaguman.
Tak tahu, jawab salah seorang sahabat ana bersahaja.

Dan senario gagak memakan tembikai terus menghantar ana ke daerah fikir.
Vegeterian kah gagak ni?
Gagak dah tak makan bangkai ke?
Isk, kenapa gagak ni datang berkali-kali dalam lintasan fikir ana?

lalu ana simpulkan pengajaran dari saat terlihat gagak makan tembikai:
1. Pilihlah makanan yang baik2...soal halal dan kebersihan serta baiknya makanan tu penting sangat.
2. Gagak pun dah tak makan bangkai atau sampah, jadi janganlah kita manusia ni main makan ja...dah tak kisah soal sembelihan ikut syariat @ makanan yang selamat untuk kesihatan.
3.belajarlah selalu daripada alam...mereka guru yang tidak berbicara namun paling setia mengajar kita...

Wallahhua'lam...

Thursday, August 5, 2010

Hanya Pada-MU...

Allah...Ya Muhaimin Ya Allah..
Selaku insan biasa, kelelahan terasa amat sejak sebulan yang lalu...Pelbagai perkara berlaku dan menuntut sabar yang bukan sedikit...Alhamdulillah...Allah hadiahkan sabar dan redha....Cuma sesekali bening juga air mata ini mengalir...Bukan tidak tegar, Rabbi..tapi mahu mengadu pada-Mu..mahu bercerita pada-Mu...
Rabbi...cukuplah Engkau sebagai wakilku..cukuplah pada-MU sebagai sebaik-baik sandaran harapanku...
Buat semua insan yang Kau hadirkan membantu, hanya ucapan terima kasih dan salam penghargaan yang mampu ana hulurkan...
Alhamdulillah..Ya Allah..
Terima kasih semua...

Saturday, July 24, 2010

Bangun...Rapat2kan Bahu...luruskan Saff...


Allahhuakbar!
Itulah ayat rutin anak2 didik ana setiap pagi.Praktikal solat berjemaah sambil menghafal bacaan2 dalam solat berserta terjemahan maknanya.Masing2 yang lelakinya berebut nak jadi imam muda walaupun ada antara mereka yang tak hafal dan belum pandai pun cara solat.... Siap kena buat jadual giliran lagi.Apapun...tahniah...cikgu bahagia dan bersyukur lihat kemahuan kamu semua berlatih solat, walaupun ada beberapa orang sebelum ni mencipta pelbagai alasan mengelat.Tak nak solat.

Tapi setelah saban hari memujuk, akhirnya terbuka pintu hati kamu...Pujuk+rotan+nasihat+cerita tentang syurga dan macam2...

Duhai anak didik kesayangan cikgu, benih2 kecil harapan Islam, moga bahu2 kalian diluruskan demi memikul amanah mendaulatkan Islam...saff@ kalian sentiasa dirapatkan...kalian bersatu dalam perjuangan demi menggapai redha-Nya...amin...

Friday, July 23, 2010

Kamu...

Allah...Subhanallah...
Rutin pagi di tadika bermula seperti biasa. Mereka ada praktikal solat berjemaah.
Semuanya berjalan lancar walaupun puas jugak kami berempat mengawal mereka.Masing2 bagaikan punya beberapa mulut setiap seorang...BiSing..Bingit...memang hobi kanak2:)
sehinggalah tiba waktu makan. Semuanya sibuk membuka bekal masing2...
Nazierah, mana bekal kamu?
saya puasa cikgu.Jawab anak kecil itu tulus...
Allah...malunya ana. Semalam masih berkira2 untuk puasa @ tak..dan akhirnya kalah..tak puasa pun...anak sekecil itu dah mula berlatih puasa sunat. Terasa malu sungguh nak makan depan dia...

Dan hari ini, sekali lagi hati kecil ana menangis...Seorang lagi anak didik ana yang paling tertib dan solehah, Nabila pula berpuasa. Saya temankan ahli keluarga yang lain puasa,cikgu...mak puasa, kakak dan abang pun puasa...katanya ikhlas..Al maklumlah, selalunya kanak2 jujur dan mulus...

Dan ana masih lagi makan di siang hari...
Kamu berdua memang anak didik yang solehah..kamu pula sebenarnya yang menjadi contoh buat cikgu...Cikgu cemburu dengan kamu..kamu telahpun memulakan jalan mendidik diri sejak kecil...alangkah kamu lebih mulia dari cikgu....

Pesan buat diri, jika anak2 sekecil itu begitu rajin berpuasa sunat, kita yang dah pun di pelbagai usia yang pastinya dah lama lalai dan leka, pujuk2lah diri belajar berpuasa sunat...terlalu banyak hikmahnya...moga diberi kesempatan melaksanakan ketaatan...amin...

Monday, July 12, 2010

Dia...


Langkahnya tenang memasuki perkarangan tadika itu. Suasana hiruk pikuk tadika dan keriuhan teman2 sebaya langsung tidak diendahkannya. Dia berwajah lonjong. Kepalanya agak besar berbanding tubuhnya yang tinggi lampai tapi hanya sekeping. Ana ligat memerhati sambil mempelajari.

30 Jun 2010,(Rabu). Hari pertama bergelar guru tadika.Terlalu banyak yang ana pelajari daripada tugas mengajar benih-benih kecil Islam ini. Sebetulnya ana takut sangat lantaran kurangnya ilmu. Al maklumlah ana terbentuk dari acuan sekularisme. Perkara-perkara asas Islami ni masih merangkak. Ana benar-benar menjadi pemerhati. Segalanya rasa bagai tak kena.Allah...kekok dan sukar benar rupanya untuk memulakan fasa baru kehidupan.

Antara banyak-banyak perkara dan pengalaman, perkara paling menginsafkan ana adalah apabila tiada pilihan. Malah jika adapun, pilihan itu kurang adab perikemanusiaan dan akhlaknya. Pilihan yang ada, biarkan dia beberapa jam lagi sebelum pulang dijemput ibu atau bapanya dalam keadaan sebegitu rupa.

Tiba-tiba bau busuk menyesakkan hidung dan meloyakan tekak.Ana memang lemah bab bau-bauan ini. Sensiviti deria tahap super la jugak...
Dia ***##! Jerit Fiza...Lalu terpaksalah kami mengejar dia. Puas dipujuk, barulah dia menyerah...Fiza ada lagi pampers spare? tanya ana...Tak da kak, nanti saya ambik di taska...

Allah...rasa macam nak nangis. Setelah 24 tahun menjengah dunia, inilah kali pertama. Dia ana mandikan dan bersihkan...

Fiza tolong ajar akak camana nak pakaikan pampers untuk budak ni...Jujur, akak tak pernah ambik tahu bab pengurusan bayi dan kanak-kanak.Mujur tak perlu bancuh susu jugak...

Allah...
Dia sesungguhnya salah satu didikan langsung dari-Nya untuk diri ana...
Ana muhasabah. Itu baru busuknya sisa makanan manusia, entah bagaimana lagi busuknya dosa, maksiat atau hati manusia. Malah harapannya moga hal ini menjadi kifarah dosa-dosa ana. Kesukaran dan berat berhadapan dengan dia benar-benar membawa ingatan ana pada Rasulullah SAW tercinta....

Allah...
Hanya bagindalah yang mengajar dan memberi teladan pada akhlak mulia...
Dan hari ini kerana kecintaan pada bagindalah, ana cuba menyantuni dia sebaiknya....

Dan sejujurnya...sukar sungguh rupanya untuk menjaga dan menguruskan seorang kanak-kanak walaupun usianya dah pun menjengah 6 tahun...kalau bayi apatah lagi..Jadi, moga istiqamah belajar dari sekarang. Kelas psikologi kanak-kanak dulu tak da praktikal. Masanya sekarang kot....

Cawan Kehidupan


Subhanallah...
Terasa terlalu banyak untuk ditulis, dikongsi bersama..secangkir rasa dari cawan kehidupan...
Allahhuakbar!..cawan kehidupan, andai tidak diisi dengan madu perjuangan dan taqwa, pasti tetap terisi jua dengan jadam dosa dan lahga..Apapun, besarlah harapan moga Allah membantu kita agar selamat dari segala tipu daya fatamorgana dunia.

Sunday, July 11, 2010

Menempa Seni Kematian...


Antara banyak2 tempat ziarah ke Fathoni tempoh hari, ziarah ke Pusara Syuhada' yang menempatkan jasad2 mereka yang terkorban paling menyentuh jiwa.Saat kaki melangkah ke kawasan pusara tersebut, deria pendengaran ana bagai terdengar gema alam mengucap salam dan tasbih. Seraya itu, air mata tidak lagi mampu di tahan...
Allah...
Inilah transit pertama buat pertemuan si hamba dan Khalidnya...
Rabbi...
mampukah kami menempa seni kematian terbaik saat datang menghadap-Mu?
Teringat kata2 Pak Long Zainal Asri dalam satu kuliahnya tempoh hari...
Seni kematian patut ditempa bermula hari ini. Jika hari ini setiap manusia asyik mahsyuk memuja seni dan hiburan, mengapa tidak kita juga menempa satu seni untuk kematian?...Seni untuk memastikan hidup dalam syariat, suruhan dan ketetapan Rasulullah SAW dan perintah Al -Quran...

Awan Harapan di Langit Fathoni...


Subhanallah...
Alhamdulillah...
Lailaha illallah...
Allahhuakbar!!!..
Tinta yang tertulis tentang takdir tiap hamba-Mu telah pun kering di Luh Mahfuz..
Redhakan kami,Rabbi...berkati tiap langkah dan helaan nafas kami...
Setelah sebulan, sekali lagi jasad pinjaman ILahi ini ana bawa dengan izin-Nya ke bumi gajah putih...Perjalanan lancar.
sepanjang perjalanan, ana asyik perhatikan awan-awan yang bergumpal bagai kapas halus di langit Fathoni...

Awan-awan itu adalah awan yang bercerita tentang harapan. Awan yang terletak nun di langit tinggi yang membawa bersamanya bayu perjuangan. Awan itu adalah bingkisan cinta para pejuang agama. Mereka adalah puing-puing zarah yang bersatu membentuk awan...walau zahirnya nampak tenang, namun mereka ini punya matlamat dan impian yang bakal berdepan badai dan ujian...

Friday, June 18, 2010

Melentur Redha...

Allah…Lahaulawala quwatailla billah…tawakkal pada-Mu, Rabbi…
Menanti hikmah di sebalik tiap suratan yang tertulis. Bukan ana tidak berusaha, namun setelah tiga kali ana kunjungi tempat itu, jawapannya masih negatif. Jadi,ana pujuk sekeping hati ini. Aduhai hati, alangkah mudahnya andai dapat diletak di luar, dibasuh dan mahu sahaja dilentur hati itu dengan makna REDHA. Tenang dan lunak menerima takdir dan ketentuan dari Allah SWT.
Wahai diri, bersabarlah…usah dikejar hari esok yang belum pasti. Redhalah mengisi hari ini penuh makna. Berbaktilah selagi termampu. Andai di sini takdirnya engkau berada, maka itulah keputusan terbaik buat dirimu…tersenyumlah dan bisikkan ke hatimu…Redhalah diri,akur melaksanakan perintah ILahi…Allahhu akbar!...

Tetamu Raudhah...

Subhanallah…
16 Jun 2010. Salah seorang sahabat ana akan berangkat ke Baitullah…Pastinya saat ini dia sedang tekun dan khusyuk dalam pengabdian serta pengaduan, malah rayuan cinta seorang hamba pada Rabbnya…
Allah…bilakah giliran hamba untuk menjadi tetamu-Mu….

Luka dan Calar

Lahaulawala quwatailla billah…
Memang sensitif kulit ni… senang ja terluka.
Hm, setiap kali habis kem mesti ada saja luka atau calar2 kulit ni…Natijahnya, tinggallah parut.
Apabila lihat parut2 ni, teringat kata salah seorang teman ana, tak palah kalau tak cantik sebab parut ni, Tapi harapnya parut ni jadi saksi. Baru sedikit kita terluka di jalan Allah…Kalau Khalid Al- Walid, seluruh tubuhnya pernah terluka dan berparut lantaran berjuang di jalan Allah…
Subhanallah…memang jika dibanding dengan sahabat Rasulullah dan baginda sendiri, apalah sangat luka dan calar yang ana alami…
Moga luka, calar dan parut ini terus mengingatkan diri bahawa kita hanyalah insan lemah dan dhaif. Serba kekurangan. Tak mampu pun menanggung sakit di dunia ini melainkan dengan limpahan rahmat dan kasih sayang dari Allah SWT…

Sunday, June 13, 2010

Di Teratak Mak...

8 JUN 2010
Tiba ke teratak mak sekitar jam hampir ke angka 12 malam..hm, macam Cinderella pulak...Syukur alhamdulillah...semangat ana kembali pulih...letih di kem hilang tiba-tiba saat menatap wajah mak...
Tapi sisa sendu senja tadi masih ada. Sebak ana simpan kemas2 di dada...
Mak...insan tabah.
Mak yang mendidik ana jadi manusia yang punya ruh dakwah...
walau pun ana masih bertatih di laman dakwah ini, semangat mak jadi azimat.
Mak...
moga syurga untuk mak....
Mak sangat sabar....
Mak kah yang teruji atau ayahkah yang bertuah?
Punya isteri setabah mak...
dan ana kekal menjadi pendengar dan pemerhati paling setia di teratak mak...
Detik masa yang berlalu saat di teratak mak terasa lambat berlalu...
Mak....
kakakkah yang kurang sabar?
Kakakkah yang tidak tegar?

dan di teratak mak, mak tetap tenang hadapi ujian demi ujian kehidupan kerana mak menanti pengijazahan di taman firdausi....

Rabbi,moga mak menjadi tetamu kesayangan-Mu di jannah nanti....
Rabbi, moga hambalah anak pejuang yang menempa kunci jannah untuk mak dan ayah...
Amin...Ya Rabbal A'lamin....

Sendu Senja Itu...


8 Jun 2010
Alhamdulillah...selesai Kem Bina Insan 2010
anjuran Unit Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.
Pelbagai perasaan datang menyapa...
Ana letih.
Mungkin penat sebetulnya...
Lidah terasa kelu dan kaku, walau bibir terus dipaksa mengukir senyum dan tangan menggenggam erat tangan sahabat2 lain yang berangkat pulang seorang demi seorang.
Dan langit mula sirna warnanya. mentari turut bersinar lemah ditutup tabir malam.
Ana duduk sendirian di bilik gerakan itu.
Kepala terasa berat dan sakit...Dan air mata gagal ditahan lagi...
Allah...hasbunallahhiwani'mal wakil...
Sendu ana senja itu tak mampu ditahan lagi..
Ana menangis sepuas2nya..
Menangis kerana ralat dan mungkin marah pada diri sendiri...
tangis malu dan penyesalan pada-Mu,Rabbi...
Tangis kerana kerasnya hati dan lemahnya ana dalam memimpin diri sendiri...

Sesungguhnya, amanah itu terlalu berat. Ana galas dengan bekal tawakal semata2. Redha saat diberi taklifan...

Namun, syukur segalanya diberi jalan penyelesaian dan bantuan dari-MU, Rabbi...

Dan paling utama ana belajar dari sebuah amanah dan pertanggungjawaban. Belajar berdakwah dan mentarbiyah diri sebelum menyampaikan kepada orang lain. Belajar menghadam makna redha dan tabah dalam menongkah arus ujian. Belajar berada di benteng hadapan saat perlu berdepan tekanan...dan belajar mencari embun2 keikhlasan di tengah terik dan rembang panas mentari di kesiangan...

Rabbi,moga bertemu saljunya embun ikhlas itu setelah sendu hamba terhenti tika sujud mengadu pada-MU...

Monday, June 7, 2010

Program Demi Program: Bertambahkah IMAN?

lahaulawala quwatailla billah...
Tawakkal pada-Mu, Rabbi...
Alhamdulillah, syukur atas segala anugerah dan kurnia-MU,Rabbi..

1 Jun 2010
Mula menapak ke Taman Uda dengan beg besar bagi persediaan Kursus Fasilitator.
Nampaknya, sekali lagi tahun ini raikan hari lahir di luar rumah.Berkelana mencari makna cinta dan mengumpul bekal untuk pulang pada-Nya...

2 Jun 2010
Kursus fasilitator bermula di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena.
Sepanjang kursus, banyak juga perkara berlaku.Apapun, ana cuba kumpul segalanya dalam peti kesabaran..ana telan segala keletah dan karenah manusia sebagai pil2 ujian...

3 Jun 2010
Kursus masih berlangsung. dalam banyak2 pengisian, ana tertarik dengan cerita Ustaz Salim tentang pertanyaan daripada salah seorang sahabat beliau;
Nta ni berprogram, bertambah tak iman?
Bertambah iman?
Boleh tahu ke iman bertambah atau berkurang?
pertanyaan dijawab dengan persoalan...
ya..iman bertambah atau berkurang dapat dirasa pada hati...
buktinya?
apabila iman bertambah, makin sibuk dalam program, makin tekun dalam ibadah pada Allah, makin menjaga diri dari maksiat dan hal2 yg bercanggah dengan hukum Allah...makin bertambah tawakal dan istiqamah...
sebaliknya, bila iman berkurang, makin sibuk berprogram, makin terabai hubungan dengan Allah..makin berat tubuh nak beribadah...makin mudah pula kaki melangkah ke tempat yang salah...lagha..jauh dari Allah....

dan ana termenung sejenak...OH IMAN!!! bertambahkah dikau????

Thursday, May 27, 2010

Tinta Sebelum Kembara....

Rabbi...hanya pada-Mu, hamba bertawakkal...segenap rasa yang Kau beri ini moga segalanya dalam redha kasih-Mu...malam ni mata masih jaga...bintang2 sedang dipotong.
Tekun sungguh Romlah membantu...
Khalilah pula lena dalam pasrah dan harapan...moga esok segalanya Kau mudahkan dan diberi kekuatan berhadapan apa jua ujian...Tabahkan kami,
Rabbi...Bantu kami ikhlas hanya pada-Mu...

Ana teringat suatu ayat yang begitu terkesan di hati...

Dalam berjuang bukan semua yang berilmu,
Dalam berilmu bukan semua yang beramal,
Dalam beramal bukan semua yang ikhlas,
Dalam ikhlas bukan semua dan berapa ramai yang istiqamah?...

Rabbi...
Di sisi manakah hamba?
Moga bimbingan-Mu mengiringi tiap helaan nafas ini...Allahhuakbar!!!

...Rindu Menyapa Lagi....

Rabbi....
Saat rindu berdesir lagi,
Hanya air mata melerai sejuta bicara,
hamba ingin pulang pada-Mu...
terimalah musafir ini...
bantu hamba melaksanakan ketaatan,
Kuatkan hamba tinggalkan mazmumah kelalaian...

Friday, May 21, 2010

Semerbak Kasih Yang Ditabur...





Kenangan dan memori bersama anak-anak didik kesayangan ana...SMK Munshi Abdullah..22 Februari hingga 21 Mei 2010

Thursday, May 20, 2010

Tinta Dari PUSPEN, Dengkil...


Alhamdulillah, setelah tersasar dari jalan yang sebenar, kami selamat tiba ke Pusat Pemulihan Narkotik(PUSPEN), Dengkil jam 10.30 pagi..Kami di sambut salah seorang sarjan..Taklimat bermula. Tapi, bukan rezeki kami melawat sel2 dan bangunan kediaman pelatih..Para pelajar yang kami bawa masih kanak2 Ribena.bawah umur sangat untuk kebenaran melawat bahagaian-bahagian khas PUSPEN.

Sesi yang kami tunggu. Suasana hening. Wajah tenang dua orang pelatih muncul di muka pintu. Salam diberi dan bersahut. Langkah mereka kemas di atur... Perkongsian penuh makna. Pesan diberi..dadah jangan sesekali di dekati. ANDA CUBA, ANDA SENGSARA.

Berikut sinopsis pesanan daripada mereka:
1) Bersabarlah berdepan kesusahan hidup.
2) Jaga pergaulan, pilih kawan2 yang baik, bebas dadah dan tidak rosak akhlak dan
iman.
3) Jangan sesekali mencuba larangan Allah...ANDA CUBA, ANDA SENGSARA.

Tiba-tiba ana diminta wakili sekolah memberi ucapan penghargaan dan ucapan terima kasih...Allahhuakbar!...Sejuk jugak tangan ni...Ada muhasabah yang berbisik...

"Pertamanya sama2lah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana masih di beri nafas dan kehidupan. Selagi mana kita hidup, maknanya selagi itulah pintu rahmat dan kasih sayang serta keampunan dari Allah terbuka luas...Saudara yang dirahmati Allah..Kita semua di uji..dan untuk berhadapan dengan ujian, hanya Allah, jaminan Iman dan Islam sahajalah tunggak kekuatan kita. Harapannya, kita bersangka baik dengan Allah.OPtimis. Biar siapapun kita sebelum ini, kita minta Allah perbaiki diri kita..Seiringkan doa dengan usaha..kembalilah kita kepada Allah...selagi ada dia, kita tak akan pernah kecewa...buat para pelajar yang cikgu kasihi...perjalanan dan ujian kamu sangat mencabar.Kuatkan diri dengan iman...kembali pada Allah..hiduplah secara Islam sepenuh masa...Ambillah iktibar dan pengajaran daripada perjalanan hidup orang lain...Sekian..."

Muhasabah di relung hati...
Dedikasi khas buat semua warga PUSPEN yang berazam berubah...

Kalian bertuah. Diselamatkan Allah. Diberi peluang kedua. Membina kembali hidup atas sisa gelap lorong sirna semalam. Kesilapan semalamlah yang membuat kalian terdampar dan dipenjara. Tapi usah bersedih, kerana penjaralah tempat melentur nafsu buas kembali pada pencipta. Kalian tetap mulia selagi mana kalian keluar dari situ bersama bekal iman dan taqwa...Harapan tetap ada..Kita hidup bukan untuk manusia, tetapi hidup sebagai hamba-Nya...Jadilah kalian benih-benih baru yang tumbuh semula demi sebuah pengabdian seorang hamba pada Khalidnya...usah diguris semula luka noda semalam..Teruskan langkah bersama iman dan taqwa.

Air Mata Kami...

Dedikasi khas buat mata2 yang menangis di kelas sebentar tadi...cikgu mahu peluk dan cium kamu sepuas-puasnya...cikgu tak nak lepaskan kamu...

Rabbi...
Syukur dan sujud kami,
Atas segala cinta dan sayang yang Kau anugerahkan...

Rabbi...
Redhakan kami,
atas putaran takdir yang Kau titahkan...

Rabbi..
izinkan air mata kami,
Mengalir dalam pasrah merintih pada-Mu...

Rabbi..
Air mata kami,
Tanda dhaifnya diri,
Insan kerdil meniti harapan,
Mengumpul bekal selepas kehidupan...

Rabbi,
Air mata kami,
Moga-moga Kau izinkan,
Memadam julang api yang menggerunkan...

Rabbi,
Air mata kami,
Moga-moga membersih karat noda di hati...

Rabbi...
Air mata kami,
Moga-moga melentur hati yang keras membesi...

Rabbi,
Izinkan air mata kami,
Menjadi pengingat diri..
Kami hanya mahu menangis di sini,
Kerana kami mahu bersenang hati di syurga abadi...

Cikgu Sayangkan Kalian...


4.30 pm..maaf cikgu terlewat 10 minit..halalkan dan maafkan cikgu...cikgu ada sesi kaunseling bersama rakan kamu tadi..Suasana kelas kita cikgu mulakan seperti biasa..Al-Fatihah..tayangan klip video zikir bergema di makmal tempat kita berkumpul.
Cikgu keluarkan dua bungkusan hadiah..satu untuk anak soleh dan satu lagi untuk anak solehah.Cikgu tanyakan kamu siapa antara kamu paling layak untuk terima hadiah ni..banyak nama yang kamu calonkan..para pelajar perempuan calonkan ainnur..yang lelaki calonkan syabil, izat, amirul, dan nama2 lain lagi..tapi cikgu serahkan pada Rusyduddin yang duduk paling depan dan hampir dengan cikgu...

Cikgu pasangkan lagu selamat berjuang. Ada pengertian yang besar di sebalik lagu tu..Nanti bila dewasa, kamu akan faham makna lagu tu..Ada air bening yang mula mengalir dipipi sahabat2 kamu..Allah..Lahaulawala quwatailla billah...air mata cikgu sendiri tak mampu ditahan lagi..ada sebak yang menjajah diri..cikgu kelu sejuta bahasa..alangkah sedihnya untuk cikgu melangkah pergi, tinggalkan kamu..entah bila lagi kita akan bertemu lagi seperti tadi...

Cikgu minta kamu buka hadiah tu..sebenarnya hadiah tu khas untuk setiap kamu..anak didik terbaik yang pernah cikgu miliki...cikgu sayangkan kamu...sayangkan sangat2..
Hadiah tu cikgu harap dapat terus menyuburkan hati2 kamu untuk kita dekat pada-Nya..

Cikgu nyatakan harapan pada kamu. Moga2 kamulah pemimpin yang umat Islam yang ditunggu2..generasi terbaik yang akan menyambung perjuangan umat Islam...

Cikgu nayatakn juga impian pertemuan semula kita, andainya bukan di dunia, tapi di syurga abadi di negeri akhirat sana..InsyaAllah..

Buat semua anak didik cikgu...cikgu sayangkan kamu..

Doa cikgu untuk kamu...

Ya Allah, jadikanlah mereka, anak2 didikku insan2 beriman dan para pejuang agama-Mu..Jadikan mereka ulama' dan penyambung tugas2 menyampaikan dakwah agama-Mu...dan Ya Allah, jadikan mereka anak-anak akhirat yang hidup dalam naungan cinta dan redha-Mu..Amin, Ya Rabbal A'lamin...

Monday, May 10, 2010

Kisah Dua Ekor Ikan...

Lahaulawala quwatailla billah...
Sepertimana biasa, langkah ke sekolah dimulakan dengan Bismillah dan tawakal. Setiap hari pasti ada keajaiban dan macam2 perkara yang terjadi. Alhamdulillah, selesai observation kali pertama. Syukur bertemu klien dalam perjalanan ke bilik kaunseling...just ambik ja pelajar ana..kebetulan, klien ana petah pulak orangnya. jadi, memang sesi berjalan lancar.

Cuma dalam menjawab persoalan dirinya, ana jawab semula dengan persoalan.
Minta dan dorong dia berfikir sebenarnya.

Guru : Baik, sekarang kamu bayangkan ya, 2 ekor ikan...satu yang masih hidup di
: laut, satu yang dah mati kat dalam pinggan...apa beza kedua-dua ikan
: tersebut?
Pelajar : Seekor hidup dan seekor dah mati, cikgu...
Guru : Perbezaan lain?
Pelajar :Yang hidup boleh buat macam2..yang mati dah tak leh buat apa2...
Guru : Lagi...rasanya?
Pelajar :ikan kat laut...kat darat...(dia bersungguh2 berfikir gayanya)
Guru :(ana sebut namanya)...bezanya dari segi rasa ialah, ikan di laut
: tetap tawar walaupun persekitarannya masin, tapi dia masin hanya sebab
: sedikit garam apabila didarat kerana telah mati...antara dua ikan
: tersebut, kamu dalam kumpulan mana?...
Pelajar :Ikan di laut, cikgu...ha...saya dah faham cikgu..maksudnya saya tak boleh
: biarkan diri saya terpengaruh dengan keadaan...saya kan masih hidup...
: ada pilihan untuk berusaha..kena survived kan, cikgu?
Guru :InsyaAllah...kita survived dengan pertolongan dari Allah...memang sukar
:untuk kamu mengubah persekitaran..tapi berusahalah! ubah diri...kalau ikan
:boleh buat, takkan kamu tak boleh...ke dah nyawa2 ikan semangat kamu nak
:study?
dan kami sama2 ketawa sambil menyanyikan lagu : ikan oh ikan, kenapa tak nak timbul...macamana ikan nak timbul, badan ikan tak da garam...he2...sebab ikan masih hidup!..."ikan" akan pertahankan diri...kena kuat..Innallahhamaana..

Friday, May 7, 2010

detik2 akhir sebelum penilaian pensyarah...

Bismillah..tawakal a'lallah...tiga hari sebelum semakan semua kerja dan hasil laporan sepanjang hampir 10 minggu berpraktikal..ana tengah berusaha siapkan semuanya sebaik mungkin. Mungkin tak secemerlang atau sehebat orang lain, tapi ana ada target sendiri...Ya Allah...bantu hamba untuk ikhlas..berusaha lakukan yang terbaik hanya kerana-Mu..bukan kerana manusia atau apa2...Ya Allah..moga adanya keberkatan dalam tiap gerak langkah..

dan andai di muhasabah, lazimnya manusia amat bimbang penilaian manusia lain, tapi kalau di sebut penilaian Allah, ramai yang tutup telinga..tutup mata dan tak nak ambil peduli...sedangkan, penilaian-Nya paling utama...bantu hamba Ya Allah, jangan biarkan hati ini lalai dari mengingati adanya penilaian yang Maha Adil dari sisi-Mu, Rabbi..amin..

Monday, May 3, 2010

Alamat Darussyifa' di Melaka...

Pagi nirmala. Subuh itu hening dan balada hati ana berlagu girang. Hati ini tenang. Ada rasa gembira yang datang berziarah. Dengan izin-Mu, Ya Allah..Kau izinkan hamba berkelana dan bermusafir di bumi-Mu.Terlalu banyak keajaiban dan anugerah dari-Mu...Alhamdulillah..

Kereta yang ana naiki bergerak lancar.Perjalanan kami dipermudah. Cuma sekali berhenti bertanyakan jalan. Destinasi dituju kami jejaki. Darussyifa' di negeri Hang Tuah ini terletak di:
Madrasah Ar- Rahmah,
Salok Gaung, Air Molek, Melaka.
Dibuka setiap hari Ahad bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari.
Apa-apa hal, bolehlah hubungi Ustaz Faizol di talian : 019-6582008 / 013-3882562

kami tiba ke sana jam 8.30 pagi. Syukur dapat sertai majlis bacaan Yaasin dan doa. Sepanjang majlis, laju ja air mata ni mengalir...Allah...rindu berada dalam taman2 syurga-Mu..rindu berada dalam majlis2 ilmu dan menyebut2 nama-Mu...Alahhuakbar!

Buat sahabat2 yang rasa dah lama jiwa tu sepi dan kontang dari siraman salju ketenangan, usunglah diri ke majlis2 zikir. Kita refresh hati dan iman kita. InsyaAllah...