BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, January 29, 2010

Madah Ukhuwah...

Dalam perjuangan teruji keimanan,
Dalam tawakkal teruji ketaqwaan,
Dalam kesakitan teruji kesabaran,
Dalam ukhuwah teruji keikhlasan,
Dalam kerinduan teruji kesetiaan,
Dan hargailah bila bersahabat,
Maafkanlah bila terluka,
Fahamilah bila keliru,
Nasihatilah bila terleka,
Tegurlah bila tersilap,
Ingatilah bila kesunyian,
Itulah kehebatan ukhuwahfillah…
Drpd: FC KBS 2009 : Nadirah

Belajar untuk Mengajar

Subhanallah…begitu pantas masa berlalu. Dalam jeda masa hampir dua minggu sahaja lagi diri yang dhaif ini bakal bergelar pendidik. Ana bakal menjadi penyampai ilmu kepada mad’u dan pelajar-pelajar ana.Ya Rabb..berikanlah kekuatan kepada ana dan sahabat-sahabat bakal pendidik untuk belajar sebanyak mungkin ilmu yang bermanfaat dan mengamalkannya untuk kami menyampaikan semula kepada para pelajar kami.
Teringat satu mesej dari seorang adik lewat dhuha semalam. Terkesima dan bermuhasabah panjang ana meneliti harapan yang tersirat daripada mesejnya…

Dalam aku mencari redhoMu, Ya Aziz,
Jiwaku perlu kepada mutiara Ihsan,
Kalbuku perlu kepada permata Iman,
Agar diriku indah dengan nikmat Islam…
Tetapi bagaimana harus aku merasai semua itu tanpa bantuan seorang
insan yang mampu menjadikan diriku menuju ke sisi-Mu, Ya Mu’izz…
Hadirkanlah ia dalam perjalanan hidupku untuk selamanya…
Aku harap insan yang aku kenali ini membimbingku kepada-Mu…

Lahaulawala quwatailla billah…semoga harapannya menjadi doa dan inspirasi buat diri ana dan sahabat seperjuangan di medan dakwah berganding bahu membimbing dan dibimbing demi redha kasih-Nya…

Thursday, January 21, 2010

Kalam Cinta-Mu, memujuk...

Syukur pada-Mu, YaRabb…saat diri kelelahan dan terasa bagai ingin lari dari saff yang Kau hadiahkan ini…Kau titipkan bersama ilmu dan kefahaman dari jalan-jalan yang tidak pernah disangka. Syukur dan segala puji jua bagi-Mu , Rabbi atas anugerah lunaknya hati saat menatap kalam cinta-Mu…

Ya Rabb, hamba dhaif dan lemah tanpa pimpinan Al –Qahhar-MU…bantu hamba Ya Muhaimin…biarlah saat ini hamba rasa lemah andainya kelemahan itu tarbiyah dari-Mu untuk istiqamah….

Alhamdulillah, syukur Ya Allah lantaran hadiah kalam cinta-MU yang memujuk dan kurnia sekeping hati yang masih ada ruh cinta untuk menuju jalan redha-Mu..bantu hamba, Ya Rabb…amin…

Sunday, January 17, 2010

Zina:Bunuh Rasa Malu

Artikel ini untuk perkongsian bersama.Saudara seislam yang ana kasihi...kerapkali kita terleka dan terpedaya dengan indahnya dunia. Godaan nafsu dan syaitan datang dalam pelbagai rupa. Adakalanya kita rasa kuat dan teguh berhadapan dengan godaan. Namun, sering juga terjadi kita leka...Ayuh, bangkit segera...tinggalkan maksiat dan dosa...
Ya Allah, Ya Ghaffur...ampuni dosa hamba-Mu...
ampuni keterlanjuran kami...ampuni kelalaian kami....
Bantulah kami dalam melaksanakan ketaatan pada-Mu...
amin..

Mohd Zawawi Yusoh*
www.iluvislam.com
Editor: arisHa27

Buat dosa siang malam tidak kira masa. Apa sudah jadi dengan umat Islam kini?
Bersolat tetapi berzina. Ketika umat Islam berpuasa dia pula buat kerja laknat.

Ini yang diberitahu kepada saya seorang ibu yang mengadu mengenai anaknya dan aduan seorang isteri dengan perangai suami yang bermalam dan mengaku berzina dengan “kekasih baru”.

Saya masih ingat lagi kata-kata datuk saya ketika beliau mengajar di rumahnya dengan katanya, berzina seronok sekejap tetapi derita sampai ke neraka.

Tazkirah kali ini ingin saya menulis mengenai akibat berzina yang nampaknya sudah menjadi perkara biasa dan semacam tidak ada apa-apa perasaan pada pasangan sama ada remaja, dewasa atau tua.

Percayalah, kalau Allah marah mesti ada azab sama ada azab sementara di dunia dan apa lagi di akhirat.

Akibat buruk dan bahaya zina:

1. Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan iaitu berkurangnya agama si penzina, hilanga sikap warak (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.

2. Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu adalah suatu yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.

3. Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.

4. Membuatkan hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.

5. Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan sehingga tidak pernah berasa cukup dengan apa yang diterimanya.

6. Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya, baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.

7. Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.

8. Penzina akan dipandang manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.

9. Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki qalbun salim (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.

10. Kesempitan hati dan dada selalu meliputi penzina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya.

Ini kerana orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan sebaliknya dari apa yang dia inginkan dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan serta kebahagiaan.

11. Penzina mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari jelita di syurga kelak.

12. Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan.

Bahkan, ia boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.

13. Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.

14. Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih meninggalkan kesan dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya.

Tetapi dosa zina akan benar-benar meninggalkan kesan di dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku itu bertaubat dan membersihkan diri, dia masih berasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya?

Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkannya. Dia berzina dan membunuh jiwa yang tidak berdosa.


Sekiranya dia ialah seorang wanita yang bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir, dia memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya.

Na'udzubillahi min dzaalik.

15. Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit seperti Aids, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.

16. Di antara azab di akhirat nanti penzina akan dibesarkan kemaluan, baik lelaki atau perempuan sebesar Bukit Uhud. Anda tahu besar mana Bukit Uhud?


Semoga kita dan anak keturunan kita terselamat dari bencana durjana ini.

Sumber:www.hmetro.com.my

* Mohd Zawawi Yusoh merupakan anak kelahiran negeri Terengganu dan berkhidmat sebagai Pensyarah di Jabatan Bahasa Al-Quran di UIA. Berpengalaman dalam bidang dakwah dan sering muncul di TV, radio, akhbar dan majalah.

Malam Selingkar Kasih 2010

Subhanallah…Alhamdulillah..Allahhuakhbar…
La haula wala quwatailla billah…Ya Muhaimin, Ya Allah…Ya Wahhab…
Dengan izin-Mu, Ya Allah hampir empat tahun kami melalui denai kehidupan sebagai pemburu ilmu di kampus hijau ini….terlalu banyak yang kami pelajari dari universiti kehidupan sebenarnya. Malah syukur pada-Mu, Ya Rabb kerana dalam deras arus kebejatan akhlak dan ketandusan iman dan akidah atas nama kemodenan,kami dipertemukan dalam naungan cinta-Mu…kami berusrah dan berhalaqah bersama. Menjahit kembali sejadah iman yang terkoyak. Menampal semula jilbab takwa yang lompang dek kejahilan…
Di laman inilah kita bersama-sama mengenal manisnya ukhuwah saat kita meletakkan segalanya kerana Allah…biar antara kita ada rajuk dan nakalnya,tapi kita tetap seiringan melangkah saat diseru panggilan mujahadah…
Kuliah, bilik-bilik amali kita lewati bersama. Saat diri terlena, syukur adanya sahabat-sahabat yang setia mengejutkan…Biarpun pelbagai ragam kalian, namun cukuplah segala yang kita lalui di sini tersimpan sebagai selingkar kasih . Abadikanlah segala yang baik itu sebagai azimat menempuh jalan berliku dihadapan sana…
Doakan bersama kecemerlangan kita. Moga adanya lagi pertemuan dalam halaqah cinta-Nya…petermuan di taman-taman Firdausi dalam ratib dan zikir ilmu demi redha ILahi….Uhibbukumfillah…Allahhuakhbar!!!

Wednesday, January 13, 2010

Tips Untuk Kekalkan Perubahan...

Salam rindu buat semua warga KBS...moga semuanya dalam naungan rahmat dan cinta ILahi..semasa program, kita banyak berbicara tentang perubahan...harapannya, kita tetap teguh memegang janji untuk berubah ke arah kebaikan...Ayuh mujahid dan mujahidah, kita sama-sama kekalkan perubahan dengan...

1.Ingat Allah, jaga solat
2.Ingat Rasulullah , banyakkan selawat
3.Ingat jasa dan pengorbanan ibu bapa
4.Ingat pada guru-guru, hormat dan jaga adab dalam berguru
5.Cari sahabat dan kawan-kawan yang mampu memberi nasihat dan teguran saat diperlukan

Makhota Yang Kau Gadaikan...

Perjalanan pulang dari rumah ayahanda dan bonda tercinta ke kampus hijau ini terasa begitu panjang. Bosan menghimpit diri dalam kedinginan air cond bas Shamisha yang dua tingkat itu. Tiba-tiba ana dikejutkan dengan mesej tentang kematian salah seorang mujahid muda dari Universiti Pendidikan Sultan Idris...Innalillahiwainna ilai hi ra ji un...ada sebak yang bertamu. Terasa begitu pantas masa berlalu bagi kitaran hidup seorang insan. Dalam usia suku abad itu, dia pergi menyahut panggilan Ilahi..Pulang bertemu Tuhan Yang Maha Menciptakan dalam keadaan dirinya sibuk di medan jihad taalim dan perjuangan...moga syahid miliknya dan bakal milik kita semua...Amin...

Mesej tersebut ana sebarkan. Al Fatihah...moga ruh mereka yang telah pergi mendahului kita berada dalam kalangan hambaNya yang diredhai dan bertakwa. Kebanyakan nombor telefon sahabat-sahabat fasilitator KBS yang ana simpan ana hantarkan mesej tersebut. Dan Kak Azani antara sahabat yang membalas mesej ana. Jadi, khabar antara kami bertukar sehinggalah kepada kisah perkembangan adik-adik mujahidah peserta...

”Hazwani, adik kita dah botakkan rambut dia. Katanya dye yang ada terlalu banyak dan ada di seluruh bahagian rambut. Bleach yang dibuat hari ini cuma hitamkan semula, tapi tak tanggalkan warna dye yang dia pakai sebelum ni...”beritahu Kak Azani lewat mesejnya..

La haula wala quwatailla billah...Alhamdulillah, syukur pada-Mu Ya Allah, Ya Qahhar atas kekuatan yang kau anugerahkan buat mujahidah muda itu. Kekuatan menggadaikan makhota(rambut) Hawanya semata-mata ingin bertaubat dan kembali pada-Mu...

Teringat ana pada dirinya saat kami berprogram bersama. Menggigil tubuh kecilnya senja itu saat menyatakan kesediaan mahu berubah. Mahu bertaubat dan kembali pada landasan cara hidup Islam yang sebenarnya. Dari anak mata hitamnya, bersinar cahaya keikhlasan. Berkaca-kaca juga matanya menyatakan segenap harapan untuk kembali mencari keredhaan Tuhan...dan senja itu, kami menangis bersama sambil bersyahadah semula. Memperbaharui iktikad sebagai muslim..

Mujahidahku,
Mahkota yang kau gadaikan,
Demi sebuah taubat dan pengabdian,
Adalah bukti ketulusan,
Segunung harapan dan sejuta impian,
Seorang hamba yang dambakan kasih Tuhan...

Mujahidahku,
Mahkota yang tergadai itu,
Biarlah gugur ke bumi,
Hancur dan lenyap menjadi debu,
Mensucikan sirna dosa-dosa lalu...

Mujahidahku,
Makhotamu itu,
Akan berganti dengan yang baru,
Namun alangkah bertuahnya dirimu,
Kerana terpilih berada dalam bimbingan kalam wahyu..
Ditarbiah mengenal diri dan Tuhanmu...

Mujahidahku,
Moga istiqamah milikmu,
Moga di kamar jannah kelak kita akan dipertemu...

Mujahidahku,
Tabahkan hatimu,
Thabatkan jiwamu...
Kitakan terus menjadi penyeru,
Agar manusia kembali pada Allah yang satu....


Allahhuakhbar...syukur pada-Mu atas nikmat iman yang kau cicipkan kelazatannya untuk kami....syukur atas nikmat ketenangan dan kebahagiaan yang kau hadiahkan dalam kelelahan kami menegakkan syariat-Mu...Allah..Allah...hu Ya Allah....Allah..Allah....hu Ya Allah...

Tuesday, January 5, 2010

Indahnya Mujahadah...


Indahnya mujahadah,
Setelah kelamnya bersinar hidayah,
Setelah resahnya dijawab pujukan kalamullah,
Setelah dukacitanya terubat dengan janji Allah,
Setelah kehampaannya terisi madah hati yang tabah,
Setelah dosanya diganti taubat nasuha di sisi-Mu, Ya Allah...


Mardiah keliru.Sebaris nama dan nombor yang ada di handphonenya itu ingin di dailnya. Hati berkata jangan, tapi ada desakan kuat yang lain menyebabkan dia hilang pertimbangan. Jam dunia telahpun menjengah ke angka satu pagi...malam telah beralih ke dinihari. Ini bukan masa yang sesuai untuk berbincang soal apa pun dengan seorang lelaki ajnabi. Lebih-lebih lagi lelaki yang telah singgah bertakhta di hatinya. Rawan. Dia benar-benar tidak keruan. Alunan bacaan ayat-ayat dari kalam suci Al Quran bacaanya sendiri tidak lagi mampu menenangkan diri.

Nombor tadi didail tanpa dapat dihalang lagi. Panggilan berjawab. Ada serak pada suara dihujung talian.

Kenapa awak telefon saya pagi-pagi ni?
Kenapa?
Awak nak apa?
Awak jangan ganggu saya!
Esok saya kerja.
Saya nak rehat

Dan hanya sepi mengisi panggilan Mardiah. Dia tidak mampu berkata sepatah apapun saat diterpa jawapan yang penuh tegas dan kasar begitu. Hanya air mata mengalir laju membendung rasa hati yang kecewa dilayan bagai boneka tanpa perasaan.
Hatinya membentak kemarahan. Jiwanya terasa kelayuan bak kangkung segar yang dicelup ke air panas mendidih. Tiada lagi hijaunya harapan, melainkan kelam kekecewaan. Kenapa dia sekejam itu? Padahal dia yang mula menebak hati ini dengan jalinan cinta. Dia yang mula-mula mengajar diri Mardiah menjadi pemburu cinta manusia...

Mardiah menangis semahunya. Air matanya jatuh berderai membasahkan lembaran
Al Quran yang dibaca. Dicampaknya telefon ke tepi.

Ya Allah...mengapakah hamba selemah ini?
Mengapa hamba tidak sabar hadapi ujian in?
Mengapa hamba terlalu mengikut kata nafsu di dalam diri...
Mardiah bermonolog sendiri...

Lama dia berteleku. Mengumpul kembali kekuatan dan ketabahan dalam diri.
Lalu, terjemahan ayat yang dibacanya tadi direnung kembali, mencari petunjuk dari Ilahi yang menjadi pemilik segenap hati...

Ya Salam...
Tenangkan hati hamba-Mu,
Rayu Mardiah dalam esak tangis yang masih tersisa.

Satu persatu terjemhan ayat dari Surah Al Furqan dibacanya. Tiba-tiba mata dan jarinya terhenti pada ayat 74 hingga ayat 76yang bermaksud:...................

Dan orang-orang yang berkata: "Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.


Ayat-ayat tersebut benar-benar menjadi pemujuk hatinya. Mardiah temui jawapan yang dicarinya dinihari itu. Dia nekad. Perbuatan dan adengan pujuk rayunya pada sang adam akan ternoktah di situ.

Syukur, Ya Allah...
Kerana dia juga tegas berhadapan denganku.
Dan setinggi – tinggi syukur juga hamba rafakkan ke hadrat-Mu atas petunjuk yang Kau berikan dalam indahnya bait kalam nasihat wahyu-Mu...Allahuakbar...
bisik hati Mardiah berkali-kali.

Walaupun perit berhadapan dengan ketegasan muslimin yang pernah mengetuk keteguhan mujahadahnya, Mardiah bersyukur kerana ada kesedaran dan insaf yang menyapa diri masing-masing.

Alangkah indah andai kedua-dua faham akan hukum Islam. Tiada istilah couple melayan perasaan, tapi kekuatan benteng syariat yang diutamakan dalam mencari keberkatan dan keredhaan Tuhan.

Duhai diriku, sabarlah.Jagalah fitrah diri ini agar tidak menjadi fitnah. Sesungguhnya istiqamah dan sabar dalam mujahadah itu indah.

Sebagaimana janji firman-Nya yang menjadi pemujuk diri Mardiah... Dalam Surah Fushilat ayat 30 hingga 32, Allah telah berjanji buat hambanya yang beristiqamah dalam mujahadah; terjemahan seperti berikut...

Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, Tuhan kami ialah Allah SWT,kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu serta janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat : dan kamu akan beroleh –pada hari akhirat- apa yang diingini nafsu kamu, serta akan beroleh pada hari itu, apa yang kamu cita-citakan mendapatkannya.

Pemberian-pemberian yang serba mewah itu, sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang amat Pengampun, lagi amat mengasihani.

Dan air mata juhadahnya terus bercucuran dan berlinangan bagi membasuh dosa dan khilaf diri...

Sunday, January 3, 2010

Jilbab Untukmu, Adinda Puteri Kesayanganku...

La hau lawa quwatailla billah...Ya Rahman, Ya Rahim...Ya Muhaimin...Ya Allah...dalam kesibukan melaksanakan amanah, terlupa diri ini akan satu tarikh penting hadirnya seorang adik buat diri hamba. Ya Allah, dia anugerah dan hadiah buat diri hamba meneruskan kelana musafir di pentas dunia ini...Nor Suhaida. Nama indah buat adik kesayangan ana. 18 Disember lalu, genaplah usianya 20 tahun...Subhanallah...dah dewasa adik ana tu...Tapi, ana lupa tarikh lahirnya. Satu mesej dari dia menghantar ana ke daerah muhasabah...kurang prihatin diri ini rupanya..Sebagai menebus kesilapan, ana janjikan hadiah istimewa untuk ulang tahun kelahirannya...

Setelah lama berfikir, hadirlah ilham dari Allah SWT untuk ana hadiahkan dia jilbab. Teringat memori kami bersama dan hasrat murninya untuk cuba berjilbab. Jadi, apa salahnya ana hadiahkan jilbab untuknya...

Adinda Puteri Kesayanganku...
Jilbab itu adalah tabir buat dirimu,
Memelihara aurat dan menjaga maruah,
Lantaran dirimu begitu berharga...

Labuhnya jilbab,
Bukan penentu hebatnya iman,
Tetapi menjadi benteng mujahadah,
Dirimu menjaga syariat ketentuan Tuhan...

Jilbab yang kau pakai,
Menjadi saksi jiwa kehambaan,
Menghargai fitrah diri yang tercipta sebagai hiasan,
Diri tersimpan sebagai amanah yang bertatah iman dan ketakwaan...

Adindaku,
Jilbab itu,
Moga menjadi pemelihara dirimu,
Dari bilahan panah iblis,
Menjadikan fitrahmu sebagai fitnah...
Mengheret dirimu kepada murka Allah...

Adindaku,
Jilbab yang kau pakai itu,
Bersama harapan memburu redhaNya,
Bersama impian menjejak gerbang syurgaNya...
Moga jilbabmu,
Iftitah tersimpannya dirimu sebagai khazanah kebanggaan ummah..

Saturday, January 2, 2010

Diari KBS Part 2


I -Ziarah Ke Pusara

Lahaulawala quwatailla billah...Keletihan hamba dalam perjalanan ini Ya Allah...namun, syukur Ya Rahim...tidur hamba malam tadi berulit tenang dari-Mu...Hari baru dimulakan dengan sejuta harapan. Barisan adinda mujahidah yang sedang berkawad, tapi masih boleh tersenyum, menyapa ana dengan wajah ceria...adik-adik mujahidah harapan Islam, kakak teramat sayangkan kalian. Seboleh-bolehnya, kakak mahu kita semua bakal bertemu dan berkumpul semula dalam naungan cinta-Nya. Begitu juga adik-adik mujahid kebanggaan Islam, kakak amat berharap kalianlah tunas baru Islam yang bakal menggegar dunia dengan lontaran iman dan laungan jihad....Adik-adik...kerana sayangkan kalian atas dasar akidah Islamiah inilah kakak dan sahabat-sahabat tinggalkan keluarga sendiri demi menginfakkan masa mendidik kalian...kalian kesayangan kami dengan izin Allah SWT...

Langkah terus ana aturkan ke bilik gerakan sekreteriat KBS...pejabat dan ”rumah”bagi kami merencana, menyusun atur semua aktiviti sepanjang kem ini.Hm...lengang, mungkin masih awal...bisik hati ana...
tiba-tiba ada bau kapur barus dan air mawar berasak-asak dan menusuk aromanya singgah ke deria bau ana. Ana pandang sekitar bilik gerakan , mencari kalau-kalau set pengurusan jenazah dah sampai. Bimbang ada botol air mawar yang pecah atau set kain kapan itu dibuka sebelum masanya. Al maklumlah, lusa akan diadakan kursus pengurusan jenazah...

Ya Allah, tak ada sebarang kotak atau bahan-bahan yang ana bau tadi...Ana istighfar dan taawuz dibaca..Mimpikah hamba, Ya Rabb...
Dan sepanjang hari itu ana berteman aroma yang lazimnya khas buat yang bernama jenazah...La haula wala quwatailla billah...
***********************************************************************
Selesai slot pengisian ”Malam Pertama di Alam Barzakh”oleh Ustaz Muhd.Zainul Asri bin Mohd Romli. Mesyuarat fasi dan urusetia diadakan. Keputusan tergempar. Fasi dan semua urusetia diwajibkan untuk Ziarah Pusara malam itu juga...Solo Kem di Pusara!

Jam hampir ke angka 2 pagi. Suasana malam yang suram tanpa bulan dan bintang menyapa kehadiran ana berserta sahabat yang lain. Ana tawakal. Hati mula menangis.Segala perasaan berbaur. Paling dominan sedih dan alangkah bimbangnya diri andai ini masanya untuk ana kembali ke pusara. Hamba belum cukup bersedia, Ya Rabb...

Ana diletakkan di satu kubur yang memang dah lama dan batu nisannya kecil. Surah Al - Fatihah dan Surah Al Ikhlas, ayatul Kursi dibaca berulang kali. Moga pahalanya sampai buat mereka yang berada di alam sana. Ziarah ini hanya sekadar di sempadan pancaindera manusia. Nasib sebenar penghuni barzakh di sini dalam rahsia-Nya. Bahagiakah kalian disana?

Lama ana bersendirian di pusara itu. Muhasabah dan merenung ke dalam diri...Oh, hati...leburlah segala keegoan dan kedegilan...kelak tubuh ini akan hancur dimamah tanah..Andainya datang ke pusara ini atas nama jenazah, tiada lagi peluang kedua untuk kembali...

Ya Allah...hamba mahu keluar dari kawasan ini...hamba tidak tegar menanggung rasa disini....dan bau air mawar dan kapur barus terus mengisi rongga hidung ana...

Tiba-tiba dari kejauhan ana terlihat lintasan cahaya hijau bersegi dari arah kanan..tiga kali cahaya itu datang dan kemudiannya pergi. Ana terkesima.Terasa seolah-olah berada di awang- awangan...Ya Rabb, dimanakah hamba? Terasa kini jasad ana bukan lagi di bumi yang biasa....

Kemudian, dari arah kiri ana ada desir angin yang kuat seperti ribut...Ana alihkan pandangan....Sepi dan kosong.Hanya nisan-nisan lain yang ada di sekeliling ana terpacak kaku. Dari kejauhan, telinga ana menangkap bunyi bising yang teramat sangat...Bunyi lolongan dan jeritan bercampur baur...dan bunyi itu semakin dekat dan jelas di pendengaran ana. Ya Rabb...hamba tak kuat untuk lihat atau dengar semua ini...dengan tawakal pada-Mu...selamatkan hamba, Ya Allah..

Ana gagahkan diri untuk bangun, membuka langkah meninggalkan pusara itu. Lampu suluh ana nyalakan dan kelibat Ustaz dan Ustazah ana terus mendapatkan ana. Syukur...Ya Allah, hamba masih di pentas dunia...hamba masih di alam nyata...dan bunyi itu ditelan kegelapan malam...


P/s : Tinta ini ditulis berdasarkan pengalaman sebenar yang dialami..tak mampu rasanya untuk dijelaskan perasaan yang dialami ketika itu...tapi pengalaman ini suatu terapi dan motivasi untuk memperbaiki diri, melembut serta melunakkan hati...saat terasa dunia berpaut pada diri, ziarahilah pusara tempat letaknya si mati...Insya Allah, jika benar niatnya untuk redha Ilahi, akan ditemui di sana jawapan kepada diri...Dunia ini sekadar persinggahan dan pusara adalah terminal pertama untuk dating dengan Allah hu Rabbuna Yang Maha Menciptakan...Wallahhualam...