TIADA YANG PALING MEMBAHAGIAKAN SELAIN ALLAH SEBAGAI SEBAIK-BAIK SANDARAN...
Tuesday, January 5, 2010
Indahnya Mujahadah...
Indahnya mujahadah,
Setelah kelamnya bersinar hidayah,
Setelah resahnya dijawab pujukan kalamullah,
Setelah dukacitanya terubat dengan janji Allah,
Setelah kehampaannya terisi madah hati yang tabah,
Setelah dosanya diganti taubat nasuha di sisi-Mu, Ya Allah...
Mardiah keliru.Sebaris nama dan nombor yang ada di handphonenya itu ingin di dailnya. Hati berkata jangan, tapi ada desakan kuat yang lain menyebabkan dia hilang pertimbangan. Jam dunia telahpun menjengah ke angka satu pagi...malam telah beralih ke dinihari. Ini bukan masa yang sesuai untuk berbincang soal apa pun dengan seorang lelaki ajnabi. Lebih-lebih lagi lelaki yang telah singgah bertakhta di hatinya. Rawan. Dia benar-benar tidak keruan. Alunan bacaan ayat-ayat dari kalam suci Al Quran bacaanya sendiri tidak lagi mampu menenangkan diri.
Nombor tadi didail tanpa dapat dihalang lagi. Panggilan berjawab. Ada serak pada suara dihujung talian.
Kenapa awak telefon saya pagi-pagi ni?
Kenapa?
Awak nak apa?
Awak jangan ganggu saya!
Esok saya kerja.
Saya nak rehat
Dan hanya sepi mengisi panggilan Mardiah. Dia tidak mampu berkata sepatah apapun saat diterpa jawapan yang penuh tegas dan kasar begitu. Hanya air mata mengalir laju membendung rasa hati yang kecewa dilayan bagai boneka tanpa perasaan.
Hatinya membentak kemarahan. Jiwanya terasa kelayuan bak kangkung segar yang dicelup ke air panas mendidih. Tiada lagi hijaunya harapan, melainkan kelam kekecewaan. Kenapa dia sekejam itu? Padahal dia yang mula menebak hati ini dengan jalinan cinta. Dia yang mula-mula mengajar diri Mardiah menjadi pemburu cinta manusia...
Mardiah menangis semahunya. Air matanya jatuh berderai membasahkan lembaran
Al Quran yang dibaca. Dicampaknya telefon ke tepi.
Ya Allah...mengapakah hamba selemah ini?
Mengapa hamba tidak sabar hadapi ujian in?
Mengapa hamba terlalu mengikut kata nafsu di dalam diri...
Mardiah bermonolog sendiri...
Lama dia berteleku. Mengumpul kembali kekuatan dan ketabahan dalam diri.
Lalu, terjemahan ayat yang dibacanya tadi direnung kembali, mencari petunjuk dari Ilahi yang menjadi pemilik segenap hati...
Ya Salam...
Tenangkan hati hamba-Mu,
Rayu Mardiah dalam esak tangis yang masih tersisa.
Satu persatu terjemhan ayat dari Surah Al Furqan dibacanya. Tiba-tiba mata dan jarinya terhenti pada ayat 74 hingga ayat 76yang bermaksud:...................
Dan orang-orang yang berkata: "Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.
Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,
mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.
Ayat-ayat tersebut benar-benar menjadi pemujuk hatinya. Mardiah temui jawapan yang dicarinya dinihari itu. Dia nekad. Perbuatan dan adengan pujuk rayunya pada sang adam akan ternoktah di situ.
Syukur, Ya Allah...
Kerana dia juga tegas berhadapan denganku.
Dan setinggi – tinggi syukur juga hamba rafakkan ke hadrat-Mu atas petunjuk yang Kau berikan dalam indahnya bait kalam nasihat wahyu-Mu...Allahuakbar...
bisik hati Mardiah berkali-kali.
Walaupun perit berhadapan dengan ketegasan muslimin yang pernah mengetuk keteguhan mujahadahnya, Mardiah bersyukur kerana ada kesedaran dan insaf yang menyapa diri masing-masing.
Alangkah indah andai kedua-dua faham akan hukum Islam. Tiada istilah couple melayan perasaan, tapi kekuatan benteng syariat yang diutamakan dalam mencari keberkatan dan keredhaan Tuhan.
Duhai diriku, sabarlah.Jagalah fitrah diri ini agar tidak menjadi fitnah. Sesungguhnya istiqamah dan sabar dalam mujahadah itu indah.
Sebagaimana janji firman-Nya yang menjadi pemujuk diri Mardiah... Dalam Surah Fushilat ayat 30 hingga 32, Allah telah berjanji buat hambanya yang beristiqamah dalam mujahadah; terjemahan seperti berikut...
Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, Tuhan kami ialah Allah SWT,kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu serta janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat : dan kamu akan beroleh –pada hari akhirat- apa yang diingini nafsu kamu, serta akan beroleh pada hari itu, apa yang kamu cita-citakan mendapatkannya.
Pemberian-pemberian yang serba mewah itu, sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang amat Pengampun, lagi amat mengasihani.
Dan air mata juhadahnya terus bercucuran dan berlinangan bagi membasuh dosa dan khilaf diri...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment