Friday, September 7, 2012

Ambil Tahu Tentang Diri Kita...

Bismillahhirrahmanirrahim...
Subhanallah...Alhamdulillahh....Allahhuakhbar!
Lahaulawala quwatailla billah...

Jumaat yang penuh hikmah.Banyak perkongsian yang  ana kutip dari kembara melaksanakan tugas dan amanah di sini. Sejak pagi kunjungan pelajar tidak putus-putus. Bilik kaunseling terasa sempit. Suara mereka memecah hening suasana. Rata-rata berkongsi rasa dan cerita.

Rasa takut dan kebimbangan menghadapi hari-hari muka. Rasa resah memikirkan nasib saat melangkah alam dewasa. Rasa keliru untuk melakar wacana memilih kerjaya. Rasa separa kecewa dan lelah berhadap ujian dan musim periksa.

Ana tatap wajah mereka dalam-dalam. Ana senyum dan mereka juga sambut dengan senyuman. Hati berdoa memohon ilham. Hati juga mencari bait kata terbaik untuk membantu mereka. Memberi pujukan dan membina rasa lebih tenang dan selesa. Ana jawab persoalan dengan persoalan. Natijahnya,mereka katakan pada ana mereka tidak tahu.

Ana terus berkonfrantasi. Ambil tahu tentang diri anda. Ambil masa untuk fikirkan dan cuba fahami diri sendiri. Cuba fikirkan apa yang anda mahukan?Cuba bayangkan bagaimana kehidupan di hari-hari mendatang. InsyaAllah,Allah anugerahkan kepada kita hak untuk merancang. Allah izinkan kita merangka impian dan merencana usaha segigih-gigihnya. Jangan hanya menunggu. Peluang perlu dicari.Kejayaan dan kecemerlangan bukan terjadi secara alami. Perkara itu semua perlu dimulakan dalam diri dan direalisasikan dalam kehidupan realiti.

Ambil masa.Tulis dan lakarkan impian anda.Sesekali saat diri terasa jauh dari impian dan cita-cita yang murni,pulanglah  kembali kepada diri. Ambil tahu,hargai dan sayangi diri. Dan paling utama jalinkan hubungan hati dengan Allahhu rabbi....Kerana dalam tiap rasa yang hadir dihati,pastikan ingatan pada Ilahi mengiringi...